Tuesday, December 22, 2009

masa kita semakin singkat!


Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru Hijrah 1431 dan tahun Masihi 2010.

Pada hakikatnya fenomena kepantasan waktu adalah suatu petanda bahawa dunia sudah semakin di penghujung usianya. Ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (riwayat Tarmizi)

Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Allah dan apakah sanggup kita menahan seksaan azab api neraka-Nya?

Bermulanya tahun baru bermakna semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah saat ketibaan hari kiamat. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai tanda bermulanya akhir zaman, kini baginda SAW telah semakin lama meninggalkan yang memberi makna usia dunia pastinya benar-benar sangat lanjut.

Ini lebih nyata dengan pelbagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku. Seluruh dunia dalam tahun 1430 Hijrah menyaksikan pelbagai kejadian bencana alam yang tidak terkawal.

Begitu juga dengan kejadian jenayah, pembunuhan dan peperangan yang seolah-olah tiada noktahnya.

Suasana umat Islam hari ini seolah-olah lebih cenderung memenuhi kehidupan mereka dengan keseronokan dan hiburan. Sebaliknya tidak berminat dengan aktiviti lebih bermanfaat seperti beribadat di masjid ataupun menuntut ilmu.

Ini dapat dilihat apabila masjid-masjid sentiasa suram dengan penghuninya sebaliknya tempat-tempat hiburan sentiasa penuh dengan pengunjungnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. (riwayat Imam Bukhari).

Malangnya kita jarang bertanya perkara seperti berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah?

Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim? Apakah aku sudah bertaubat dari dosa-dosa besar yang telah aku lakukan?

Sama-sama kite renungkan.

-Utusan malaysia-

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails